RANTAU PANJANG 2 Sept. - Penduduk Islam di wilayah selatan Thailand mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan yang berlaku di ibu kota Bangkok yang diisytiharkan perintah darurat hari ini.
Lega kerana perintah itu tidak dikenakan ke atas wilayah itu, namun kebanyakan penduduk tetap bimbang dengan suasana tidak tenteram yang tercetus akibat protes antikerajaan di ibu negara itu.
Rata-rata mereka yang ditemui dalam tinjauan Bernama di Sungai Golok hari ini, mengharapkan suasana tegang di Bangkok berikutan pertempuran antara penyokong kerajaan dan pembangkang diselesaikan segera dengan cara yang sebaik-baiknya tanpa pertumpahan darah.
Bagi Baharuddin Malik, 41, beliau mengharapkan Ramadan tahun ini dapat disambut dengan suasana tenang di kampung halamannya di Narathiwat.
Walaupun sentimen antikerajaan memaksa Perdana Menteri, Samak Sundaravej mengisytiharkan perintah darurat di Bangkok, namun perkembangan itu tetap menghantui penduduk di seluruh negara itu.
''Kita sangat berharap dapat sambut Ramadan dan melaksanakan ibadat puasa dengan tenang, namun ada pula kecoh dan merusuh di sana (Bangkok).
''Walaupun Bangkok jauh dari sini, kesannya tetap kita rasa. Rasa bimbang tetap ada, takut merebak hingga ke sini. Kita berdoalah ia berakhir segera,'' kata Baharuddin yang sentiasa mengikuti perkembangan terbaru mengenainya menerusi televisyen dan radio.
Menurut Baharuddin, sebelum ini ketegangan dan pergolakan sering dikaitkan dengan wilayah selatan, Narathiwat, Pattani dan Yala, namun keadaan di wilayah selatan sedikit aman sejak menjelangnya bulan Ramadan.
''Aktiviti harian kita tidak banyak berubah, cuma kita memang sentiasa berhati-hati dan kurangkan aktiviti luar rumah pada waktu malam,'' katanya.
Warga emas, Hani Abdullah, 61, berkata, keadaan di kawasan sempadan tidak banyak terjejas dengan apa yang berlaku di Bangkok, namun beliau berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikannya sebaik mungkin.
''Bimbang juga dengan apa yang berlaku. Kalau boleh kerajaan cari jalan untuk selesai cepat-cepat, tapi dengan sebaik-baiknya,'' katanya.
Seorang penduduk Sungai Golok, Faridah Che Mat, 32, bersikap optimis bahawa kerajaan negara itu dapat menyelesaikan pergolakan itu dalam masa terdekat.
''Kita tengok perkembangan dulu tapi saya yakin kerajaan dapat selesaikan sebelum ia merebak lebih buruk. Kita yang dekat dengan sempadan ini tak rasa sangat, tapi bimbang juga dengan kecoh macam ini,'' katanya.
Pada 25 Ogos lepas, lebih 10,000 penunjuk perasaan Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) menduduki perkarangan pejabat Samak di Rumah Kerajaan bertujuan menjatuhkan kerajaan beliau.
Bagaimanapun, perhimpunan tanpa kekerasan itu berubah menjadi ganas apabila kumpulan penyokong kerajaan dan pembangkang bertempur semalam.
- Bernama
*apakah reaksi kita mahasiswa??fikir-fikirkan..??
1 comment:
mahasiswa tunggu dan lihat..:)
Post a Comment