Pages

.:: Menyusuri Sebuah Kehidupan~ ::.

↑ Dapatkan informasi helangsenja dengan menekan RSS ini

Save Palestin
Photobucket
..:: Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya-Saidina Ali- ::..

Followers

Friday, September 05, 2008

:: Baculkah Pilihanraya Kampus Kita? ::

:: Baculkah Pilihanraya Kampus Kita??? ::

Salam perjuangan buat pejuang² mahasiswa yang masih istiqamah bersama-sama ingin menegakkan kebenaran. Pada bulan Ogos ini bukan sahaja pejuang-pejuang kemerdekaan yang kita raikan, tetapi kita perlu ingat, dalam kondisi ruang lingkup mahasiswa, bulan ini sebenarnya adalah bulan peperangan, bukan peperangan dengan senjata, bukan peperangan dengan pedang, tetapi semua kampus akan berperang untuk "PILIHANRAYA KAMPUS" (PRK).

Mungkin ada segelintir daripada kita lupa tentang perkara ini. Tidak ambil peduli tentang apa itu PRK, apa itu demokrasi kampus. Kita perlu sedar, pilihanraya kampus adalah penentu hala tuju sesebuah minda mahasiswa, keberanian ke'intellectual'an mahasiswa untuk kehadapan dan lebih pada itu sebagai pimpinan mahasiwa kampus yang akan ditanya tentang amanah yang dipikul sebagai pilihan kita pimpinan generasi kampus pada masa itu.

"Kenapa perlu memilih jalan pilihanraya kampus?? Kalau masuk pun bukan boleh menang, HEP pun ada main tipu gak, asyik ASPIRASI jer menang. Dah la tue, asyik bergaduh je. Kadang-kadang sesama jemaah kampus pun bergaduh. Mengata sini, mengumpat sana" kata salah seorang pelajar senior yang masih tidak faham mengenai PRK.

Inilah situasi yang berlaku di sesetengah kampus. Masih tidak memahami keperluan untuk menyertai PRK. Biarpun pelbagai ancaman yang diterima, tidak kira ancaman dibuang kolej, dikenakan tindakan tatatertib kampus, malah diancam dibuang universiti namun mahasiswa ini tidak takut, mungkin masa kita ini kita telah gugur dalam perjuangan kampus, tetapi ingatlah perjuangan mahasiswa tidak akan selesai dan idealisme mahasiswa akan terus membara dan makin membara bila dijolok keberaniannya. Mungkin pada suatu titik masa nanti kemenangan mahasiswa adalah milik pro mahasiwa. InsyaALLAH.


Biarpun sogokan yang diberi, meninggalkan kesenangan hanya dibilik kuliah dan biarpun sudah pasti akan kalah, malah boleh dikatakan kita telah membeli tiket [bernombor siri-siri 'kekalahan'] tetapi sebenarnya, kita telah membeli tiket sebuah perjuangan. Bukan kemenangan menjadi pujaan, tetapi sebuah perjuangan mahasiswa. Tiket semangat pro mahasiswa. Tiket matlamat amar ma'ruf nahi mungkar. Tiket kebenaran. Malah lebih pada itu, tiket the future leader yang berani mengambil risiko dan cabaran. Dan kepimpinan begini yang kita mahukan untuk menjadi MUSLIM NEGARAWAN yang bakal menggantikan pemimpin pada masa hadapan.

Tetapi, apa yang menjadi permasalahan mahasiswa Islam sekarang adalah, sanggupkah kita memikul beban ini. Bila telah mengecapi kemenangan, adakah kita lupa nasrullah ?? Lupa amanah yang diberi ?? Mungkin tidak dan mungkin ya.

Dan di sini, kita berbalik pada tarbiyah kita bagaimana. Ruhiyah kita macamana. Masa kita dengan Allah banyak mana. Astaghfirullah, kita lupa nikmat Allah yang banyak pada kita.

Tarbiyah merupakan elemen utama pada diri seseorang pejuang Islam. Tanpa elemen ini, maka gagallah segala perancangan yang dilakukan kerana tiadanya kefahaman tentang pentingnya menjaga agama Allah SWT dan hubungan makhluk dengan Penciptanya. Kefahaman yang dimaksudkan disini ialah permulaan dalam menggerakkan amar maaruf dan nahi mungkar (Iman Hassan Banna), sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT melalui ayat-ayat kalam-Nya. Dengan adanya 2 element ini, iaitu tarbiyah dan kefahaman, maka segala strategi dan pendekatan yang dibawa dalam menyampaikan dakwah Islam dan juga mematahkan pihak musuh dapat dilakukan dengan sebaiknya dan dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran.

PRK merupakan salah satu saluran dan ruang yang disediakan dalam usaha menyebarkan segala risalah Islam. Dengan adanya PRK, semua insan yang menggelarkan dirinya sebagai pejuang Islam perlulah sedar dan mengambil kesempatan dengan ruang yang diberi untuk mendaulatkan daulah Islamiyah dalam kontek kondisi (kampus). Maka 4 element iaitu tarbiyah, kefahaman, strategi dan juga pendekatan perlu wujud kepada semua barisan-barisan penggerak pejuang Islam dalam menjayakan visi dan misi mendaulatkan Syiar Islam di kampus kita.

Tetapi sejauh mana suruhanjaya PILIHANRAYA KAMPUS atau pentadbiran universiti kita berfungsi melaksanakan PRK ini. Strategi juga penting dalam menghadapi musuh. Jom kita selidik mengenai AUKU.

ADAKAH INI SEBENARNYA KITA TERHALANG DARI KEMENANGAN?? AUKU ??

Petikan ini saya ambil dari detikdaily.net yang bertarikh 18 Oktober 2007. Di sini kita dapat melihat tulisan yang dibuat oleh Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002) mengenai politik kampus.

AUKU tidak meningkatkan pembabitan mahasiswa dalam politik kampus. Kali ini, peratusan membuang undi merosot di tujuh IPTA manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuwan di samping mengembangkan politik wang.

Dilampirkan di sini dua artikel yang ditulis oleh Dato Saifuddin Abdullah.

Kedua-dua artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian keluaran 29/09/2007 dan 13/10/2007 yang lalu. Bukan senang kita nak jumpa tulisan pemimpin UMNO yang agak kritis kandungannya. Selamat Membaca !!!

Perspektif: Kembalikan fitrah politik mahasiswa Saifuddin Abdullah

Hadiah cabutan bertuah kepada pelajar mengundi hina status keilmuwan

SEJAK pilihan raya kampus semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diadakan secara serentak dan membabitkan koordinasi peringkat tertinggi mulai sesi 2001/02 dulu, nampaknya pilihan raya sesi 2007/08 pada 2 Oktober lalu mungkin yang paling berwarna-warni.

Apa yang paling menyerlah ialah pengundian di Kolej Ke-12 Universiti Malaya (UM), iaitu universiti tertua dan peneraju gerakan mahasiswa negara, terpaksa diadakan semula akibat kewujudan pengundi hantu.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan akibat bantahan mahasiswa terhadap masa yang diberikan untuk mengemukakan calon dan persediaan menghadapi pilihan raya itu.

Kali ini, dua insiden itu menenggelamkan sedikit cerita tentang rungutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus pada setiap tahun seperti pengaruh parti kerajaan dan ahli politik tertentu, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah, peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa dan sebagainya.

Dari satu segi, ini menimbulkan tanda tanya terhadap keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan pilihan raya kampus yang terbit daripada undang-undang induknya, iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), terutama pindaan 1975 tentang hal ehwal mahasiswa, khususnya dari segi politik.

Insiden di UM dan UIAM itu menunjukkan AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih licin atau menjadikan pegawai pilihan rayanya lebih cekap.

AUKU tidak meningkatkan pembabitan mahasiswa dalam politik kampus. Kali ini, peratusan membuang undi merosot di tujuh IPTA manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuwan di samping mengembangkan politik wang.

AUKU juga tidak membantu penjanaan kepemimpinan mahasiswa. Sekiranya terdapat sebilangan kecil kerusi dimenangi tanpa bertanding, maka itu adalah adat politik. Tetapi, sehingga lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.

Sesungguhnya perkembangan ini tidak boleh dibanggakan. Oleh itu, dalam semangat Aildilfitri - kembali kepada fitrah – ini, eloklah kita bermuhasabah untuk mengembalikan pilihan raya kampus khususnya dan hubungan antara mahasiswa dengan politik amnya kepada fitrah sebuah universiti dalam pengertian sebenar.

Satu daripada caranya ialah dengan meminda AUKU, iaitu terutama peruntukan yang dibuat dalam pindaannya pada 1975 kerana ia mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa. Peruntukan yang dimaksudkan itu, antaranya, ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1).

[ E-voting, pencaturan yang meragukan ]

Manakala kongkongan dan kawalan itu, antaranya, ialah:

  • Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada memanggil, berhimpun atau mengorganisasikan perhimpunan seramai lebih daripada lima orang tanpa terlebih dulu mendapat kebenaran bertulis dari Naib Canselor atau wakilnya.
  • Mahasiswa tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan kecuali mendapat kebenaran daripada Naib Canselor atau orang yang diberi kuasa olehnya.
  • Mahasiswa, pertubuhan, badan atau kumpulan mahasiswa tidak dibenarkan mempunyai atau mengguna pembesar suara atau seumpamanya.
  • Melarang mahasiswa menggunakan bendera, sepanduk, pelekat, poster dan seumpamanya.
  • Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.
  • Melarang mahasiswa mengambil bahagian dalam apa-apa perniagaan, pekerjaan atau aktiviti lain secara sepenuh masa atau sambilan yang menurut Naib Canselor adalah tidak diingini.
  • Melarang mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dulu secara bertulis oleh Naib Canselor.
  • Melarang mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa daripada menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan badan-badan lain.
  • Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada memungut wang.
  • Pemegang jawatan atau orang yang menguruskan kumpulan mahasiswa adalah disifatkan melakukan kesalahan sekiranya kesalahan dilakukan atas nama atau bagi pihak persatuan atau kumpulan mahasiswa itu, melainkan dapat dibuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuannya dan dia /mereka telah berusaha mencegah kesalahan itu. Dia/mereka boleh didakwa atas kesalahan itu walaupun dia/mereka tidak mengambil bahagian dalam melakukan kesalahan itu.
  • Melarang mahasiswa mengorganisasikan, mengapikan atau menyertai pemboikotan sesuatu peperiksaan, kuliah, tutorial, kelas atau aktiviti lain yang sah dijalankan oleh atau di bawah arahan atau dengan kebenaran universiti.
  • Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada membuat rayuan atau apa-apa perhubungan lain dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan dengan universiti sama ada secara lisan, tulisan atau apa jua cara sekalipun.
  • Melarang menerbit atau mengedar dokumen di dalam atau di luar kampus kecuali dibenarkan oleh naib Canselor.
  • Jika seseorang mahasiswa tidak mematuhi atau melanggar sesuatu arahan atau kehendak yang sah diberi atau dibuat oleh mana-mana pegawai atau pekerja Universiti yang diberi kuasa untuk memberi atau membuatnya dalam kampus maka mahasiswa itu adalah bersalah atas kesalahan tatatertib.


Adakah semua mahasiswa menentang peruntukan itu? Mungkin tidak. Tidak semua menentangnya pada 1971 dan pada 1975. Mungkin begitu juga hari ini. Ini kerana tidak semua tahu AUKU. Ada yang tidak tahu langsung. Ada yang tahu, tetapi tidak ambil kisah.

Pokoknya, mahasiswa lesu sejak AUKU. Kerana itu, pindalah AUKU sebelum mahasiswa menjadi kaku. Kepada seluruh mahasiswa dan pembaca akhbar ini, saya mengambil kesempatan menerusi ruangan ini mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin.

Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Perspektif: Kampus medan terbaik debat politik

ISNIN lalu, Universiti Columbia di New York mengundang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berceramah kepada sekumpulan pelajar dan pensyarahnya. Seperti dijangka, pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) yang terpengaruh atau bersekongkol dengan Presiden Bush atau mempunyai kepentingan politik tertentu dan menuduh Ahmadinejad dengan perkara yang bukan-bukan mengecam penganjuran ceramah itu, malahan mendesak supaya ia dibatalkan.

Tetapi, ceramah itu tetap diadakan. Tidak mengapalah jika Presiden universiti itu, Lee Bollinger, memberikan ucapan pengenalan yang tidak sopan, manakala ucapan Ahmadinejad pula tidak sebaik yang disampaikannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada keesokan harinya.

Yang pentingnya ialah universiti itu berpegang teguh dengan kebebasan akademiknya dalam menganjurkan ceramah membabitkan pemimpin politik yang berhaluan bertentangan dan tidak tunduk kepada tekanan politik dari luar, manakala Ahmadinejad membuktikan keberaniannya berhadapan dengan mahasiswa, apalagi dalam keadaan yang diketahuinya akan menjadi panas baginya.

Peristiwa ini signifikan kerana kini ada sesetengah universiti kita takut mengundang dan membenarkan pemimpin pembangkang berucap di dalam kampus. Hanya sesekali ada universiti yang berani. Contohnya, pada Ogos 2003, Universiti Utara Malaysia (UUM) membenarkan sebuah forum mengenai pengurusan negara diadakan membabitkan pemimpin Pas, Datuk Husam Musa (ketika itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Nazri Aziz (ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan).

Di samping itu, tidak ramai pemimpin kerajaan berani berhadapan dengan mahasiswa. Sering kali mereka menolak undangan ataupun sekadar menghantar wakil.


Pada satu masa dulu, kampus adalah pentas perdebatan politik yang sihat membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang. Contohnya ialah Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Ia dianjurkan dan ahli panelnya dipilih mahasiswa.

Kini, debat politik sedemikian amat jarang diadakan. Yang ada ialah forum membabitkan ahli panel yang sealiran saja. Lebih malang lagi, jika dulu, yang mempengerusikan debat politik itu ialah mahasiswa, tetapi hari ini, ia diambil alih oleh pensyarah. Mahasiswa hanya menjadi penonton kerana universiti menganggap mereka budak sekolah menengah tinggi saja.

Alasan untuk tidak membenarkan pemimpin pembangkang berucap di kampus ialah bimbang mahasiswa akan terpengaruh. Persoalannya, adakah mahasiswa semudah itu untuk dipengaruhi? Kalau begitu, jangan benarkan pemimpin pembangkang itu berucap seorang. Sebaliknya, adakan dalam bentuk debat. Undanglah pemimpin kerajaan untuk berdebat dengannya.

Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai politik. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua yang berkaitan dengan politik dianggap kotor dan semua yang berkaitan dengan pembangkang dianggap berbahaya.

Memang ada perbezaan antara politik dengan parti politik, antara isu politik dengan isu parti politik, antara politik kepartian dengan politik non-kepartian dan antara politik partisan dengan politik non-partisan. Ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik.


Ilmu politik adalah sebahagian daripada disiplin yang perlu didedahkan kepada mahasiswa. Ia memerlukan pendidikan politik.

Di sinilah relevannya debat politik itu. Adakah dinginnya kampus disebabkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya pindaannya pada 1975?


Tahun dari 1965 (atau menurut sesetengah pendapat, dari 1966 atau 1967) hingga 1974 dianggap sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara ini.


Pada 1965 dianggap tahun bermulanya zaman itu berikutan transformasi peranan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang tidak lagi terbatas dalam bidang bahasa dan kesusasteraan saja, tetapi mula mencakupi perjuangan lebih luas hingga mencakupi bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Program bersama masyarakat, seperti ceramah, forum dan diskusi mula dianjurkan. Mahasiswa mula berkecimpung dengan masalah penderitaan penoreh, petani dan nelayan. Kemiskinan mula menjadi isu utama yang diperjuangkan mahasiswa. PBMUM juga menentang konsep Malaysian Malaysia yang dikemukakan Lee Kuan Yew.

Pada 1966 pula diambil berasaskan fungsi Sudut Pidato (Speaker’s Corner) yang ditubuhkan pada 27 Mei tahun itu. Ia penting kerana hampir semua demonstrasi selepas tarikh itu bermula dari situ. Sudut Pidato itu diberikan jolokan sebagai Hyde Park Malaysia.


Di sanalah mahasiswa mengadakan dialog dan perbahasan mengenai pelbagai isu mengenai mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara dengan bebas. Pada Disember 1967, Kelab Sosialis ditubuhkan, iaitu pertubuhan politik pertama di kampus.

Ini menandakan bermulanya, untuk beberapa tahun, penguasaan mahasiswa beraliran sosialis di UM, misalnya, Syed Hamid Ali menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Sanusi Osman menjadi Presiden PBMUM pada tahun berkenaan dan kemudian diikuti pula oleh Hishamuddin Rais.

Jika ada perbezaan mengenai tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, pendapatnya adalah sama, iaitu 1974.


Pada 1974 digunakan kerana selepas peristiwa demonstrasi Baling pada Disember tahun itu, iaitu demonstrasi terbesar dalam sejarah gerakan mahasiswa negara ini, pada 1975, pindaan dibuat terhadap AUKU dengan tujuan mengongkong gerakan mahasiswa. Selepas pindaan itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang be sar iaitu gerakan mahasiswa mula lembap.

Pendapat yang menyatakan bahawa tempoh dari 1965 hingga 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara melihatnya dari segi tindakan mahasiswa yang bercorak politik.

Mohammed Abu Bakar (1973) dalam bukunya Mahasiswa Menggugat menulis, tindakan ini termasuklah: seminar dan diskusi mengenai pelbagai isu di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh politik dan pensyarah; resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan mahasiswa untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka; dan sesetengah mahasiswa memegang jawatan dalam parti politik seperti Parti Rakyat.

Kita tidak perlu kembali sepenuhnya ke zaman sebelum AUKU. Apa yang perlu ialah kita muhasabah kefahaman dan pemikiran mahasiswa hari ini mengenai politik.

Dalam konteks ini, petunjuk terpenting ialah pilihan raya kampus. Mutakhir ini, ada begitu banyak kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, malahan ada beberapa universiti yang semua kerusi dimenangi tanpa bertanding.

Adakah menang tanpa bertanding begini sesuatu yang baik? Adakah tindakan sesetengah pemimpin universiti yang boleh dipersoalkan dari segi keadilan dan kesaksamaannya dalam pelaksanaan pilihan raya kampus sesuatu yang baik?

Adakah perlumbaan dan keseronokan sesetengah pemimpin universiti mengumumkan kemenangan besar calon yang dikatakan prokerajaan sesuatu yang baik? Adakah semua ini berlaku akibat universiti dipengaruhi atau ditekan oleh pihak lain? Adakah keadaan begini kondusif untuk kita melahirkan universiti bertaraf dunia?

Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002) .

[ PRK, medan menuntut kesabaran ]

Jadi, bagaimana pula pilihanraya kampus pada sesi 2008/2009 kali ini. Jika HEP bermain api dengan mahasiswa, BACULKAH PILIHANRAYA KAMPUS PADA TAHUN INI?? Kita tunggu dan nantikan.

PRO MAHASISWA
www.helangsenja.blogspot.com

No comments: