Pages

.:: Menyusuri Sebuah Kehidupan~ ::.

↑ Dapatkan informasi helangsenja dengan menekan RSS ini

Save Palestin
Photobucket
..:: Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya-Saidina Ali- ::..

Followers

Saturday, November 28, 2009

Krisis PAS: Luahan Isteri Abdul Ariffahmi

Salam Aidil Adha kepada semua. Ketika menjenguk beberapa blog politik semasa [ klik klik klik klik dan banyak lagi ], rata-ratanya sedang hangat dengan "entry" mengenai isu PMBK, Nik Aziz dan Ir Abdul Ariffahmi. Berbagai andaian, fitnah, "batu api", "mulut berapi", kata kesat, kritikan, pandangan, cadangan dan pelbagai makna yang sekutu dengannya yang memeningkan si pembaca bila membacanya. Sehinggakan ada yang sanggup mengutuk Tok Guru "habis-habisan" kutukan. Terkejut bila mendengarkannya.

Ntah mengapa kali ini tamparan PAS lain dari yang lain. Kali ini mungkin bukan tamparan, tapi mungkin sepakan atau terajang yang betul-betul menyesakkan PAS.

Mungkin di sini ada sedikit jawapan dari isu ini yang boleh kita rungkaikan. Saya terbaca dari blog Dr Siti Mariah yang beliau kongsikan di blognya. Iaitu luahan hati dari isteri Abdul Ariffahmi, Nik Amalina Nik Aziz (anak Tok Guru).

Ini ialah luahan hati Nik Amalina Nik Aziz.........

Suamiku, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman

Salam Ukhuwah,

Hampir empat hari berlalu...ujian yang cukup mencabar bagi kami...InsyaAllah kami tanamkan semangat bahawa ujian ini ada hikmahnya buat kami. Sehinggalah ke saat ini kami masih mampu menjalani kehidupan sepertimana biasa, masih boleh bergelak ketawa bersama anak-anak dan juga tetap bersembang bersama Tok Guru dan Bonda tersayang, serta berborak mesra bersama adik-beradik yang lain daripada kedua-dua belah pihak, yang tentunya tidak pernah keputusan memberi kata-kata semangat juang buat kami serta doa yang berpanjangan buat kesejahteraan kehidupan kami sekeluarga. Terima kasih untuk kalian!

Isu ini sedikit sebanyak mengundang kesedihan dikalangan kami sekeluarga. Ia mampu menjadi satu isu yang membuatkan kami semua membincangkannya dari pelbagai sudut. Walaupun kami sedih, kami tetap tenang. Kami tidak perlu berduka berlama-lama, kami harus bangun! Kami ingin bangun membuktikan kebenaran! Langkah kami belum mati, kami akan sentiasa maju ke hadapan! Datangnya kami dari keluarga yang dimuliakan, dan sesungguhnya kami tidak sesekali rela keluarga kami dihina.

Alhamdulillah, saya mempunyai sebuah keluarga yang matang. Semuanya tenang dalam mengharungi suasana laluan yang sukar ini. Kami dididik, selain ditarbiah baik bahawa jangan sesekali berbuat jahat, malah berusahalah untuk sentiasa berbuat kebaikan. Ia adalah sesuatu yang konsisten antara kehidupan di dunia menuju ke akhirat. Ayahanda sentiasa berdoa dan mengajar kami supaya mendoakan agar ‘jadikanlah kami semua imam kepada orang-orang yang bertaqwa’. InsyaAllah...

Apabila saya menjengah dunia, ditakdirkan saya berada dalam sebuah keluarga yang dikenali ramai. Saya memang bertuah kerana hampir memiliki segala-galanya di dalam kehidupan dunia ini, tapi semuanya adalah secara bersederhana. Saya seorang yang cintakan kedamaian, dan sesungguhnya onar yang berlaku dalam isu ini sungguh menjerut rasa di hati saya. Jiwa saya sentiasa menuntut untuk berbuat kebaikan, mungkin kerana ia hasil dari didikan kedua ibubapa saya, malah dengan akal yang sudah cukup sifatnya di usia saya sekarang, saya sentiasa cuba untuk tidak mencalit arang kepada kedua ibubapa saya yang masyhur itu. Kadangkala datang juga rasa ketidakadilan berlaku dalam kehidupan ini, namun belajarlah menerima hakikat bahawa, dalam kebertuahan itu masih ada kecacatannya.

Saya hidup didalam sebuah keluarga yang sering sahaja diuji. Dari sekecil-kecil ujian sehinggalah ke sebesar-besar ujian. Ia bergerak seiring dengan waktu saya membesar. Hari ini giliran saya pula menerima ujian yang hebat ini. Ia begitu mengasak fikiran kerana kelihatan mampu menguasai dunia realiti dan maya.

Saya tahu saya bukan bersendirian menghadapi ujian ini. Saya dan suami punya ‘pasukan’ yang kuat untuk menyokong kami dari mana-mana sisi sekalipun. Apa yang penting, kami tahu Allah swt hanya memberikan ujian ke atas hamba-hambaNya mengikut kemampuan hambaNya itu. Barangkali ia suatu ‘alarm’ kepada kami agar kami kembali muhasabah diri dalam meniti hari-hari yang berlalu dan juga yang mendatang. Mungkin ini saat terbaik dalam kehidupan kami, untuk kami terus merendahkan jiwa kami kepada Maha Pencipta kami, untuk kami menginsafi diri, lantas menitis air mata yang kadang-kala kami lupa untuk menghulurkan keikhlasan kami kepada Mu ya Allah...Pinta kami semoga Tuhan tidak pernah memandang enteng kepada kami walau dalam keadaan bagaimana pun keadaan kami ini. InsyaAllah...

Tatkala kita semua menghampiri saat-saat bahagia menghampiri Hari Raya Korban, jiwa saya turut tersentuh mengenangkan ada situasi yang perlu dikorbankan. Ia bukanlah situasi yang mudah, tapi bukanlah sukar untuk saya menerima pengunduran suami saya, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman dari jawatan CEO PMBK beberapa hari yang lalu. Saya menerimanya dengan hati yang tenang walaupun sedikit kecewa dengan situasi yang tidak memihak kepadanya.

Saya tetap optimis mengharapkan bahawa masih ada sinar yang akan menyelubungi kami sekeluarga. Walaupun ia sebuah memori yang pahit, saya tetap menerimanya dengan lapang hati. Namun terselit di jiwa saya rasa terkilan bahawa masih ada manusia di dalam kelambu PAS yang begitu rakus membaham sesama sendiri sehingga sanggup melukakan hati seorang tua yang juga Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, merangkap Tok Guru yang disayangi segenap lapisan masyarakat, yang tentu-tentunya beliau adalah Ayahanda saya yang tercinta. Jauh di sudut hati saya, sesungguhnya saya tidak rela ia terjadi begitu namun saya tetapkan pendirian bahawa yang terjadi itu ada hikmahnya dan barang tentu kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik!

Dalam menghadapi kemelut ini, ramai sahabat-sahabat yang telah menghubungi saya bertanyakan khabar berita. Ada yang sekadar menghantar sms, ada pula yang sanggup melambungkan bil handphone mereka dengan bersoal-jawab bersama saya, tidak kurang yang sanggup datang ke rumah untuk mendengar saya ‘berceramah’. Paling saya hargai ada sepasang suami isteri dari Terengganu yang sanggup langsung ke rumah saya demi untuk mencari kebenaran. Pada waktu itu mereka semua menyatakan sokongan padu bahawa kami berada di pihak yang benar!

Hati saya tetap lapang meniti hari-hari yang penuh cabaran. Dalam menyusuri kemelut ini, saya dan suami sering berbincang kemungkinan-kemungkinan yang mungkin kami akan hadapi nanti. Walaupun begitu, kami tidak merancang apa-apa dan kami tiada perancangan ke atas kemungkinan-kemungkinan itu kerana kami masih optimis kami sentiasa di pihak yang benar. Namun siapa tahu kebenaran itu boleh tertimbus oleh kebatilan yang terancang!

Bukan sedikit kesan negatif yang terpaksa kami terima dari kemelut yang terancang ini. Perancangan kejahatan ini telah menemui titik noktahnya yang pertama! Namun saya tahu perancangan jahat ini masih belum menemui titik noktah penyudahnya!

Saya sentiasa bersedia menjadi sayap kanan kepada suami tercinta. Selagi saya yakin dia berada di pihak yang benar saya tetap akan padu menyokongnya. Bukan hanya dia yang membina keyakinan saya, namun saya masih ada keluarga yang jitu memperteguhkan kebenaran yang tercipta.

Saya sentiasa ada untuk menyokong segala gerak kerja suami saya dalam membangunkan negeri Kelantan yang tercinta ini. Saya sentiasa mahu menyuntik semangat kepada dirinya untuk bergerak maju menongkah arus membina kekuatan baru bagi negeri Kelantan ini. Saya sentiasa di sisinya untuk memberi idea yang terbaik dalam segala aspek kehidupan kami.

CEO

Hari ini suami saya masih CEO PMBK. Bagi saya pencapaiannya sungguh memberansangkan. Ia sebuah pencapaian yang boleh dibanggakan kepada keluarga kami. Kami semua mengalu-alukan pencapaiannya itu. Namun siapa tahu akhirnya dia mampu dijatuhkan oleh satu fitnah yang terancang hebat.

Pada suatu hari dia memaklumkan kepada saya bahawa ayahanda telah melantiknya ke jawatan CEO. Saya mengucapkan tahniah. Apabila ada luang masa untuk berbicara dengannya saya mengingatkannya bahawa ini adalah suatu amanah yang besar. Bukan hari itu saja saya mengingatkanya, tapi sering! Saya sendiri mahu dia menjadi seorang CEO yang berjaya. Saya mahu dia sentiasa di landasan yang betul dan benar. Saya mahu dia dihormati kawan mahupun lawan. Bukan niat saya untuk menyibuk perihal kerjayanya, tapi saya tahu kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku kerana saya tahu apa itu politik!

Pelantikan suami saya ke ‘kerusi panas’ PMBK adalah daripada sokongan ayahanda tercinta. Saya bersetuju untuk suami memberi persetujuan kepada ayahanda menerima jawatan itu selepas hampir empat kali ayahanda menyuarakannya dalam tempoh setahun yang berlalu. Pada saat itu, saya pasti kelayakan dan kewibawaan suami saya adalah menjadi titik penentu ayahanda memilih dia untuk menerajui takhta PMBK.

Siri perlantikan ke ‘kerusi panas’ ini bukan berlangsung sebulan dua, namun ia memakan masa selama setahun dua. Apabila namanya dicadangkan oleh ayahanda, saya memberi nasihat untuk dia memikirkan semasak-masaknya. Saya meyakininya bahawa, terima jika berkemampuan, dan tolaklah jika ia suatu amanah yang tidak mampu digalas. Perasaanya ketika itu bersimpang-siur. Saya sentiasa disisinya untuk sebarang pandangan yang sihat, menerima amanah bukan seperti mendapat habuan yang indah, itulah ingatan saya kepadanya. Akhirnya dia memilih untuk menjawab ‘YA!’. Saya meyakini diri bahawa dia adalah calonnya untuk jawatan panas itu. Keluarga turut menyatakan sokongan. Dalam tempoh mendokong amanah besar itu saya akur kepada kehebatannya dan saya tahu dia boleh menjangkau impian besar ayahanda dalam menerajui bumi Kelantan ini.

Kami menjalani kehidupan seperti biasa walaupun selepas suami saya digelar CEO. Saya tetap berfungsi sebagai seorang suri kepada sebuah rumahtangga dengan menjalankan tugas-tugas rutin saya. Kadangkala kami berkunjung ke rumah ayahbonda. Ada masanya kami berbincang, apa saja isu yang terluah di meja makan yang kami panggil ‘persidangan meja bulat’. Tiada apa yang pelik selepas perlantikan itu, sekadar isu yang telah kami jangkakan, ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu! Kami tetap juga bersabar menghadapi hari-hari mendatang.

Segala kemungkinan yang mungkin berlaku hasil dari perlantikannya itu telah cuba kami hadap bersama. Apa yang pasti kami sedar bahawa fitnah akan sentiasa mengekori kami setiap masa. Kami cuba untuk membuat yang terbaik. Saya yang sentiasa optimis tidak pernah memikirkan bahawa suatu hari nanti dia akan kecundang. Saya sentiasa berkeyakinan bahawa apa yang baik akan dibalas baik. Saya sentiasa menyokongnya untuk berbuat segala jenis perkara kebaikan, bukan setakat kerana kebaikan itu adalah baik, tetapi beringat-ingatlah bahawa kita sentiasa diperhatikan, baik dari kacamata kawan mahupun lawan kerana kita adalah ‘public figure’.

Saya sendiri tidak mendambakan kesenangan apabila suami saya dilantik menjadi CEO. Namun lumrah kehidupan, setiap kejayaan itu dirai dengan sebuah kegembiraan. Suami saya juga dikenali sebagai KJ Kelantan. Mana samanya? Tentunya suami saya lebih cerah, jika adapun sebenarnya dia bukan berkulit cerah. Bagi saya suami saya seorang yang terbuka, walaupun agak sukar untuk menerima kritikan, tapi dia bersedia untuk berhadapan mendengar sebarang kritikan.

Saya sentiasa memberi ingatan kepadanya. Saya kenal suami saya. Dia seorang yang maju ke hadapan. Dengan ilmunya sebagai seorang Jurutera menjadikan dia seorang yang kritis dan kreatif. Dia seorang yang sukakan cabaran. Kerana sukakan cabaran itulah dia sanggup menggalas jawatan penting yang disuakan kepadanya. Saya yakin dengan jawatan yang disandangnya itu mampu memberi ‘kuasa’ baru kepada daya saing negeri Kelantan.

Selain membawa watak sebagai isteri penyeri sebuah rumahtangga, saya juga sentiasa bersedia untuk memberi idea yang terbaik buat suami. Sebagai isteri, saya mahu dia menjadi suami terbaik didalam rumahtangga saya. Saya juga berusaha untuk memberi yang terbaik kepada kerjayanya. Saya sentiasa memberi idea yang segar kepadanya. Saya juga cuba membawa watak seorang sahabat yang dinamis selain daripada saya mencuba untuk menjadi seorang isteri solehah kepadanya.

Selain dari sokongan yang diberikan oleh ayahanda, saya tahu suami saya punya semangat yang tinggi dalam kemahirannya. Dia seorang yang berkeyakinan tinggi di atas apa yang dia mahukan. Dia sentiasa yakin dengan setiap keputusan yang dibuatnya. Tidak semua saya boleh bersetuju dengan segala tindakannya, namun saya berani memberi kerelaan kerana saya tahu rasional dia berbuat demikian. Saya iring dengan teguran-teguran yang membina agar dia tidak tersasar haluan. Saya mahu saya sendiri berfungsi adil kepada rakyat Kelantan kerana suami saya mensasarkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka. Saya bangga kerana setiap apa yang dia lakukan adalah untuk kesejahteraan masa depan rakyat Kelantan. Saat itu, saya membina keyakinan yang lebih baik bahawa ini adalah keputusan terbaik ayahanda kerana dengan pengetahuan politik yang lumat, beliau tahu apa sebenarnya yang beliau mahukan. Bukan sahaja kecemerlangan akademik menantunya itu, bahkan lebih dari itu, iaitu sebuah keikhlasan untuk patuh dan taat pada setiap kemahuannya.

Tidak perlu untuk saya menutur kata bahawa saya menyokong segala gerak kerjanya, cukup sekadar saya menghargai kehidupannya yang sibuk. Saya tahu dia seorang yang kuat semangat dan saya juga tahu dia bekerja sehingga lewat pagi kerana sebuah kerelaan.

Namun sebuah impian yang tinggi tidak mudah kesampaian. Ia hampir karam di tengah jalan. Suami saya diserang fitnah bertalu-talu, tempiasnya memercik kepada ayahanda tercinta. Tidak berhenti di situ saja, ia terus menjalar menjengah nama bonda, saya sendiri, anak-anak, dan sesungguhnya saya sungguh bersimpati kepada nasib kakitangan PMBK yang turut dicerca sedemikian rupa. Saya merakam simpati kepada situasi yang tidak terduga ini.

Nasib masih menyebelahi kami kerana masih ada sokongan yang kuat buat kami. Terima kasih kepada ayahbonda kerana mempusakakan kepada saya semangat yang kental. Ayahanda tegar bertahan dengan keputusan, bonda meraih kekuasaan tuhan. Saya bertahan dengan sebuah pengharapan. Namun masih samar kelihatan jalan keluar dari kemelut ini. Suami saya tetap bertahan melawan arus yang kian mencengkam.

Ada saatnya ketika itu saya sekeluarga bersedih. Sebuah kerumitan buat kami semua. Namun kami sentiasa optimis masih ada sinar di penghujung cerita ini. Kami diuji, dan kami cuba menerima ujian ini dengan redha. Datangnya kami daripada sebuah keluarga yang berilmu dan beriman. Kami tahu benar untuk membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan. Namun ia sukar, kerana kami terpaksa melawan musuh yang bergelar kawan. Kawan yang makan kawan. Kawan yang menggigit dalam diam, antara sedar dengan tidak, dia terus menghadam, sehingga terjadilah seperti hari ini...

KEMELUT

Pada hemat saya, isu PMBK tercetus hasil dari perselisihan peribadi. Ada seorang kakitangan yang tidak berpuas hati dengan gaji yang ditagihnya untuk menjadi seorang bos di anak syarikat PMBK. Ia bukan masalah luaran yang besar tapi masalah dalaman yang hanya membabitkan seorang kakitangan sahaja. Seorang sahaja! Jawapannya mudah, gaji yang ditagihnya adalah terlalu tinggi, lebih tinggi dari gaji bos PMBK.

Makin hari dia membuat onar demi onar. Dia mula membuat rancangan demi rancangan. Serangannya sering menjadi kerana ia kejahatan yang dirancang rapi. Lebih-lebih lagi dia mempunyai back-up yang kukuh dari seorang ‘bos lain’. Makan gaji dengan orang lain, bekerja untuk orang lain. Inilah masalahnya!

Tidak perlu diperkenalkan lagi, namanya sudah masyhur satu alam, semasyhur nama suami saya sendiri. Dia sendiri yang mencipta kemasyhuran itu. Dia sendiri yang membuat publisiti murahan itu. Tanpa sebarang iklan. Tanpa sebarang bayaran. Percaya saja jika anda mahu. Tapi, jika anda seorang yang WARAS, AWAS! ada perangkap di hujung pena itu. Seorang yang digelar Kickdefella berjaya membawa semua watak yang diarahkannya sendiri. Mahu jadi apa? Seorang gila? Kurang siuman? Tiga suku? Katakan saja. Semestinya anda tidak kempunan untuk menjiwai peranannya itu. Namun saya masih reserve, kerana saya tahu dia seorang yang kreatif.

Apa yang saya tahu dia seorang umno. Kalangan rakan siber saya tidak menyebut umno, tapi lebih glam katanya jika disebut umngok! Saya tidaklah berminat untuk mengetahui detail tentang dirinya, tapi saya tahu dia bekerja untuk seorang Exco Kerajaan Kelantan. Pada awal kemunculannya di Kelantan, saya begitu tertarik dengan buah tangannya menghasilkan sebuah buku – yang saya lupa tajuknya – yang memaparkan pelbagai gaya ayahanda saya dalam pelbagai acara yang dihadirinya. Itu dulu. Sekarang lain. Kreatifnya itu sudah tersasar. Kali ini dia bukan lagi menghasilkan sebuah buku, tapi sebuah...filem barangkali...yang terlalu banyak dongengnya yang langsung tidak berpijak di bumi realiti.

Saya sendiri mengagumi hasil seninya terlebih dahulu sebelum mengenali empunya diri. Pertama kali saya mengenalinya ketika saya menemani suami yang mahu mencari samping untuk di pakai pada hari raya, kebetulan dia dan isterinya juga begitu. Tanggapan pertama saya, dia seorang yang baik walaupun saya agak terkejut melihat kepada isterinya, sungguh daring bagi rakyat Kelantan. Tapi jika ia boleh dikatakan satu fesyen, masih lagi boleh dimaafkan. Namun jika dilihat dari sudut agama, ia tidak menurut perintah tuhan. Dengan kata lain, berdosa.

Saya pernah diberitahu dia peminum arak tegar. Hearsay...so, jangan percaya sehingga saya dan anda melihatnya sendiri, ok...? Tapi mabuknya dalam penulisan sungguh menjadi-jadi. Semuanya bagaikan sel-sel otaknya telah rosak teruk jika dia benar-benar seorang peminum. Kesian...Hanya orang yang mabuk juga yang boleh percaya apa yang ditulisnya.

Jangan cuba membuka aib orang jika aib sendiri sudah tidak tertanggung badan. Semua orang ada aibnya, maka berpada-padalah! Kami yang dididik secara Islam tidak betah untuk bercakaran bagi membuka aib masing-masing, tapi adakalanya syaitan itu terlalu kreatif. Kami takut digoda sehingga melebih-lebih membuka aib saudara seIslam. Jangan sehingga perlu disaman, nanti anda pula diisytihar bankrupt. Tapi tunggulah masanya, kebenaran itu akan bersinar jua. Kami masih boleh bersabar walaupun sabar kami kian menipis. Hidup ini ada maruahnya! Tunggulah harinya! Kami yakin Allah itu Maha Adil. Jika kami tidak mampu membalasnya, kami berkeyakinan penuh bahawa balasan Allah itu adalah sebaik-baik pembalasan.

Jangan kerana satu isu picisan, anda menjadi kurang siuman. Jadilah seorang manusia yang adanya dikagumi, hilangnya ditangisi. Datanglah Kickdefella mengadap suami saya. Suami saya sudah menjemputnya terlebih dahulu di suatu ketika yang harinya masih mampu dibilang perginya. Tapi tiada pula datangnya. Dayuskah anda? Pengecutkah anda sehingga seringkali bertukar ID dalam blog sendiri?

Anda mampu menjadi seorang yang bertuah kerana anda mudah untuk menjenguk Tok Guru. Alangkah beruntungnya jika anda tahu merebut peluang keemasan ini. Tapi sebaliknya, anda sendiri memilih untuk rugi di dunia, jika dunia itu konsisten ke akhirat, maka rugilah juga anda di sana. Tidak terdetikkah di hati anda rasa sedikit bersalah? Jangan pula menyalahkan orang yang sudah tentu salahnya itu sudah terang kelihatan, tapi di mana letaknya akal waras anda? Fikir-fikirkanlah jika masih ada sel otak anda yang masih baik berfungsi.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong perjuangan kami. Terima kasih kepada ayahbonda yang banyak mendoakan kesejahteraan kami.

Tahniah kepada suami saya yang sentiasa taat dan patuh kepada setiap butir bicara ayahanda. Saya sentiasa disisinya untuk sentiasa menyokong kebenaran yang dipertahankannya. Hidup ini ada maruahnya. Berdiam diri bukan bermakna kalah. Berbuat bising bukan satu kemenangan. Diamlah untuk berbicara kepada tuhan yang Maha Mendengar.

Takziah kepada manusia hebat pembentang kejahatan. Usah berselindung disebalik wartawan-wartawan yang berbayar. Walaupun bunga tahi ayam itu cantik, ia tetap busuk!

Buat suami saya, lapangkan hati, tenangkan fikiran. Saya percaya masanya tidak lama untuk sebuah kebenaran tercipta. Berundurlah setapak dengan bermaruah untuk menjangkau terjahan yang lebih jauh. Saya kagum! Tidak sia-sia membiarkan kosong kerusi panas di Darul Digital, kerana jika diisi, skripnya mungkin lebih parah. Sedarlah sahabat semua bahawa Kickdefella itu penipu besar di abad ini.

Saya mungkin tidak terlepas dari sebarang kutukan, tapi saya sudah bersedia demi sebuah kebenaran yang perlu dinyatakan. Demi untuk kami sekeluarga. Ini adalah jihad saya. Saya punya kuasa jemari untuk meluahkannya.

Suami saya adalah pemimpin saya. Dia ketua keluarga bagi rumahtangga saya dan saya punya hak untuk mempertahankannya. Andai dia didapati bersalah, ada hukuman menantinya. Tapi untuk berserah kalah, itu bukan jantannya.

Fitnah ini melingkari kami sudah hampir tiga minggu. Saya mengharapkan ia beransur pergi sebagaimana perginya banjir dari bumi Kelantan ini. Suami saya masih muda, masih bersemangat dalam mencapai impiannya. Saya optimis masih ada peluang untuknya melangkah jauh ke hadapan, meninggalkan hari ini dengan sebuah kejayaan. Saya tetap teguh di sisinya hingga ke akhir hayat kami. InsyaAllah terbentang luas rezeki untuk kami.

Ini luahan hati seorang isteri...

Untuk ayahanda tercinta, terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Menantu ayah ini adalah pilihan terbaik sebenarnya. Tapi apakan daya...Terima kasih ayah kerana menerajui bumi Kelantan yang mana keberkatannya terserak kepada zuriat kami. Kepada bonda, terima kasih atas segala-galanya. Anakanda tahu bonda banyak menitis air mata mendoakan kesejahteraan kami...


"Belajarlah untuk banyak MEMBERI, bukan untuk biasanya MENERIMA"
||helangsenja@yahoo.com||

Thursday, November 26, 2009

Merealitikan sebuah fantasi



Selepas thunami besar melanda Aceh, Indonesia, kini lain pula thunaminya. Bukan thunami musibah, tetapi hadiah. Thunami filem Islami yang kini giat diperkatakan. Filem diadaptasi dari novel yang telah menjadi mega best seller di merata-rata negara termasuklah Malaysia. Karya Habiburrahman El-Sherazy mula diperkatakan lewat kebelakangan ini. Setelah kejayaan besar filem “Ayat-ayat Cinta” yang diadaptasi dari novel best seller beliau, sekarang muncul pula “Ketika Cinta Bertasbih” yang menjadi igauan.

Selepas 2 jam lebih kami se”roommate” menonton bersama filem “Ketika Cinta Bertasbih 1”. Tetiba kawan saya menyapa.

“Kang Azzam tak nak tidur lagi ke?” Tanya kawan saya secara sepontan.

“Erk..ko panggil aku Azzam” kata saya dalam hati.

Ana nak gi jumpa Ust Mujab kejap kt bilik sebelah, nak lamar Anna Althafunisa” jawab saya selamba dengan tersenyum bersama-sama.

Kami pun gelak bersama. Tanda gurauan yang tak pernah sunyi dari bilik kami. Sungguh luar biasa pengaruhnya. Begitulah sketsa kami sebilik selepas menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih”.

Itulah penangan besar karya filem cinta Islami. Terpengaruh dengan watak yang dibawa dalam filem tersebut menjadikan igauan setiap orang untuk menjadi seperti watak tersebut. Sesiapa pernah membaca novel “Ayat-ayat Cinta” dan “Ketika Cinta bertasbih”, pasti teruja dengan gaya bahasa yang dibawa. Mungkin ada beberapa kritikan untuk novel tersebut, tetapi lebih banyak kebaikan yang boleh diperbincangkan.

Sekarang semakin banyak cerita cinta Islami yang telah menambat hati penonton-penonton yang menontonnya. Di Malaysia, wujudnya “Nur Kasih”, “Syurga Cinta”, “Cinta Sempurna” yang mungkin ada yang ingin menjadi sebahagian watak utama pelakon tersebut. Saya pernah terdengar, ramai mak cik-makcik yang terpengaruh dengan drama “Nur Kasih” menyebabkan ramai yang ingin menjadikan seperti Aidil, Adam dan Nur Amina sebagai menantunya. Sungguh hebat kalau itu kesannya.

Tetapi hakikatnya, semua itu hanyalah fantasi belaka. Ia hanyalah lakonan sementara sahaja. Kalau yang kenal bagaimana perangai pelakonnya diluar drama tadi, mungkin ada yang terbeliak melihat aksi seksinya. Tetapi dalam drama lain pula aksi. Siapa orang itu, carilah sendiri.

Filem “Ketika Cinta Bertasbih” bagi saya banyak nilai Islami yang boleh dijadikan panduan seperti perinsip, pengorbanan, kecekalan, amanah dan sebagainya. Tetapi realitinya dalam masyarakat sekarang sangat sukar untuk mencari lelaki dan wanita yang sebegitu rupa. Kalau ada pun sangat sedikit.

Ada yang ingin berfantasi menjadi seperti Azzam, Fahri, Aisyah dan Anna, tapi mungkin kita berlakon hanyalah seketika. Tetapi, kalau kita selalu sudah biasa dengan lakonan kita dengan istiqamahnya mungkin ia boleh menjadi habit dalam hidup kita. Jadi, untuk berfantasi dengan watak-watak yang baik tidak salah. Malah mungkin itulah yang sebenarnya yang ingin diterapkan oleh penulis novelnya. Untuk berdakwah merubah kearah cinta yang bukan Islami, kepada cinta yang lebih mengenal PenciptaNya.

Oleh itu, berfantasilah untuk menjadi realiti. Kalau kanak-kanak berfantasi menjadi Batman, Superman, Keluang Man, maka, tindakan berpakaian, percakapan dan pergaulan mereka akan bertindak seperti super hero khayalan mereka. Begitulah sebolehnya kita. Fantasinya baik, maka baiklah impresi kita. Kalau buruk fantasi difikiran kita, maka buruklah perbuatan kita. Imaginasinya difikiran kita. Realitinya pada tindakkan kita. Kalau kita impikan wanita yang solehah, maka tindakan kita sesoleh semampu kita dan begitulah sebaliknya. Buat semampu yang kita ada, bukan hanya berkhayal semata-mata. Saya berharap, selepas ini bakal wujud filem-filem Islami yang boleh menjadikan alternatif kepada filem-filem yang rempit sana, buka sini, terbuka sana dan sewaktu dengannya.

Allahumma innii as aluka hubbaka wa hubba man yuhibbuka wal ‘amala laddzii yuballighunii hubbaka. Allahummaj’al hubbaka ahabba ilayya min nafsii wa ahlii.

“Ya Allah, aku memohon curahan cinta-Mu
dan kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu,
serta memohon curahan amal yang dapat mengantarkan
diriku mencintai-Mu. Ya Allah, jadikanlah kecintaan
kepada-Mu lebih tertanam dalam jiwaku
melebihi kecintaanku kepada
diri sendiri dan
keluargaku.”

Melly Goeslow Feat. Amee
(Ketika Cinta Bertasbih)

Lagu : Aden
Lirik : Melly Goeslaw
Penyanyi : Melly Feat Amee
Produksi : Aquarius Musikindo

bertuturlah cinta mengucap satu Nama
seindah goresan sabda-Mu dalam kitabku

cinta yang bertasbih mengutus hati ini
kusandarkan hidup matiku pada Mu

bisikan doaku dalam butiran tasbih
kupanjatkan pintaku pada-Mu Maha Cinta
sudah diubun-ubun cinta mengusik resah
tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika Cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
sujud syukurku pada-Mu atas segala cinta

p/s: maaf le yer kalau macam sedikit jiwang =)
















Wednesday, November 25, 2009

Kenangan di kampung halaman


Sudah lama blog ini tidak terisi dengan entry baru. Suram sunyi dibuatnya. Kadang kala keinginan ada, tapi masa pula tidak mengizinkan. Kadang-kadang bersemangat untuk menulis, tetapi benda lain pula dibuatnya. Hmm, macam-macam ragam hidup ini.

Sudah lama rasanya tak bersama masyarakat kampung di sini. Dulu dan kini, banyak perubahannya. Kata orang, suasana kampung ini, boleh merehatkan minda kita seketika, setelah banyak “kerja” yang bertimbun di tempat belajar. Mungkin ada benarnya juga. Tetapi, sebagai aktivis dakwah ini, kata orang kerjanya setiap masa. Masa cuti pun ada benda perlu dilaksana. Takpa la. Tinggalkan sebentar “program”, kertas kerja, masalah dan perkara yang sewaktu dengannya di tempat sepatutnya. Kita bercerita tentang suasana kampung kita sahaja dulu.

Sebentar tadi, saya baru saja balik dari menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid Tanah Merah. Kelihatan jemaah tidak begitu ramai memenuhi ruang-ruang saff yang ada di ruang utama masjid. Muka jemaahnya masih sama seperti 5 tahun dulu. Kerepot-kerepot, putih-putih rambutnya, bertongkat dan ada yang panjang janggutnya. Berserban dan berjubah itu menjadi perkara biasa bagi pakcik-pakcik di sini. Mungkin kerana ada “Haji” pada usia sebegitu.

Mana orang muda? Syabab? Adakah masjid ini hanya golongan yang “bertongkat”? Lu fikirlah sendiri bak kata Nabil. Sebenarnya ada saja orang muda, tapi boleh dikira berapa “kerat” ahlinya.

Mungkin ada yang sependapat dengan saya. Yang mana, surau, masjid, madrasah kita, kebanyakkan ahli jemaahnya orang-orang tua. Orang muda mungkin sibuk barangkali.

Dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan shalat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seseorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahasiakannya sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berdzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu meneteskan air mata dari kedua matanya.” (HR Bukhari)

Kita berada di golongan mana? Kalau ada kita yang tergolong di dalam mana-mana golongan, Alhamdulillah. Semoga kita terus istiqamah dan tidak riak dalam ibadat kita. Tapi, kalau kita tak ada. Banyak-banyak la kita mencari dimana pengakhiran hala tuju kita yang sebenar.

Seingat saya, pada zaman PMR saya dahulu, masjidlah menghubung antara rakan-rakan saya pada masa itu. Sekolah lain, kampung lain, pergi naik kenderaan lain-lain, tapi pertemuannya adalah di tempat sama. Iaitu di masjid. Pada kami waktu itu, masjid inilah mengeratkan ukhwah persahabatan kami. Rakan-rakan saya kalau saya masih ingat ketika itu, Azwan panjang, Shahrul, Shahmi, Hafizul, Mamat, Aje, Amin, Pokteh, Nafi dan ramai lagi yang saya pun dah lupa. Pertemuan di masjid menjadi perkara biasa. Lepak pun di perkarangan masjid. Dengar kuliah, borak-borak dan macam-macam aktiviti lagi. Masjid menjadi tempat perbincangan kami. Kadang-kadang, buat qiamullai sama-sama. Selepas pekena roti canai selepas pukul 12pagi itu, sama-sama datang masjid untuk buat Qiamullai. Pada waktu exam, study lepas isyak sama-sama.

Tapi itu zaman dulu. Zaman sekarang mungkin dah tak banyak orang muda suka ke masjid. Tempat berhubungnya di Facebook, MySpace, Friendster, chatroom, Yahoo Massenger, Yahoo Group dan sebagainya yang dah canggih manggih lagi. Mungkin juga suasananya sudah tiada.

Banyak kenangan zaman persekolahan dulu. Tapi itu dulu. Sekarang kita dah semakin dewasa, semakin sibuk dengan berbagai macam benda. Semakin banyak benda nak difikirkan. Tapi, itulah hakikatnya. Kita semakin meninggalkan kenangan kita. Kenangan bersama kampung halaman. Semoga kenangan ini terus menjadi semangat untuk mengembalikannya semula supaya ia menjadi ikutan anak dan cucu kita.


“Ramai orang yang boleh hidup dalam taat beribadat, tetapi sangat susah dan jarang orang boleh menghindar diri dari melakukan dosa dan maksiat diri”

||helangsenja@yahoo.com||