APABILA UMNO TERLUPA "KIDNAP" SPEAKER PERAK
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Seseorang cenderung melakukan kesilapan apabila membuat kerja secara gopoh gapah. Itulah yang berlaku kepada Umno. Kegopohan parti gelojoh tersebut kini meletakkan nyawa “kerajaan haram” BN di Perak seperti nyawa-nyawa ikan.
Semuanya bermula apabila Umno terlupa speaker. Umno hanya menumpukan bagaimana nak “menculik” tiga orang bekas Adun yang melompat dan bagaimana nak mengusir Dato Seri Nizar sebagai MB Pakatan Rakyat ( PR ) tanpa menyedari bahawa orang yang mereka patut “culik” terlebih dahulu adalah Speaker DUN Negeri Perak.
Ada kemungkinan Umno terlepas pandang kepentingan peranan Speaker di dalam rampasan kuasa yang bersifat non military ( bukan ketenteraan ) ini. Rampasan kuasa bersenjata atau secara ketenteraan tidak memerlukan speaker Parlimen atau DUN ditawan. Dalam rampasan kuasa yang melibatkan “penculikan” ahli –ahli ADUN seperti di Perak kegagalan menawan speaker adalah suatu risiko yang besar. Dan kini Umno mula menanggung keperitannya..
Mungkin tidak keterlaluan kalau kita katakan Umno mungkin berpendapat apalah ada sangat pada batang tubuh speaker. Umno mungkin menganggap speaker hanya seperti pengerusi tetap Umno – tiada kuasa yang penting dan substantif..
Kini setelah speaker menggantung Dato’ Dr. Zambry dan enam ADUN BN yang lain untuk tempoh 18 bulan ( untuk Zanbry ) dan 12 bulan ( untuk 6 exco ) barulah Umno mula tercungap-cungap. Zambri terpaksa meminta talian hayat daripada Abdullah Badawi. Abdullah Badawi yang juga tercungap-cungap mencari bantuan tersasul meminta Zambri membuat laporan polis ke atas speaker. Zambri sendiri, saya percaya, agak terkejut dengan saranan Abdullah tersebut. Bagaimanapun memandangkan Umno diajar untuk memberikan ketaatan membuta tuli pada pemimpin mereka saranan tidak masuk akal Abdullah terpaksa juga diikuti Maka 19 laporan polis dibuat ke atas speaker Perak.
Polis yang sudah dibebani dengan masalah jenayah yang menghantui mereka kini dengan tidak semena-mena diminta pula siasat keputusan speaker. Ini mungkin kali pertama berlaku dalam dunia bertamadun polis diminta siasat keputusan seorang speaker DUN. Polis sendiri pun saya percaya bingung kenapakah mereka diminta siasat keputusan speaker. Polis pun maklum bahawa keputusan speaker melibatkan isu Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran. Kalau nak memahami Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah pun polis menghadapi masalah kenapakah Abdullah tambah lagi masalah mereka kini dengan diminta mereka siasat satu kes Perlembagaan.
Zambri pun tahu bahawa polis tidak boleh sama sekali mengganggu speaker dalam hal ini. Berdasarkan undang-undang yang BN gubal sendiri speaker adalah kebal. Polis tidak boleh ganggu termasuk menyoal siasat speaker. Mendakwa jauh sekali.
Kalau Abdulllah ambil masa sikit mendapatkan nasihat dari pakar undang-undang sudah tentu dia tahu bahawa berdasarkan Enakmen Dewan Undangan Negeri ( Hak Istimewa ) 1959 [ Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959 ] dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan jelas kedua-dua undang-undang tersebut memberikan kekebalan secara mutlak kepada speaker dari sebarang prosiding jenayah dan sivil .
Kekebalan speaker dari sebarang prosiding di Mahkamah boleh dikatakan diterima di seluruh dunia termasuk di negara dunia ketiga seperti Papua New Guinea. Untuk Umno saya cadangkan bacalah kes berikut.
Di dalam kes James Eki Mopio v Speaker of Parliament [1977] PNGLR 420 fakta kesnya adalah berkaitan dengan isu pelantikan Mr. Michael Somare sebagai Perdana Menteri Papua New Guinea selepas pilihanraya umum negara tersebut . Pihak Plaintif iaitu. Mr. James Eki Mopio yang juga ahli Parlimen mendakwa Speaker Parlimen telah gagal mematuhi seksyen 142 ( 4 ) Perlembagaan Papua New Guinea.
Mr. Mopio berhujah bahawa seksyen 142 ( 4 ) tersebut memperuntukkan berkaitan penjalanan dewan Parlimen sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil . Beliau mendakwa pelantikan Perdana Menteri hendaklah dibuat sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil dan memandankan speaker Parlimen gagal mematuhi seksyen tersebut maka pelantikan Perdana Menteri adalah tidak sah.
Mahkamah Agung Papua New Guinea yang menolak hujah Mr Mopio tersebut memutuskan bahawa kes ini adalah berkaitan dengan penjalanan urusan Parlimen dan tatacaranya (“ the conduct of the business of the Parliament and its procedure. ) Oleh itu Mahkamah memutuskan memandangkan isu di Mahkamah melibatkan isu sama ada tatacara Parlimen telah dipatuhi atau tidak dan juga isu kebebasan prosiding Parlimen serta fungsi dan peranan Speaker maka Mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendegar kes tersebut.
Zambri nampaknya dah mula sedar bahawa saranan Abdullah untuk beliau membuat laporan polis menyebabkan beliau menjadi bahan ketawa di kalangan masyarakat yang celik undang-undang . Maka beliau kini terpaksa mendapatkan nasihat Peguam Diraja ( QC ) di London. Satu lagi bukti UMNO masih bermentaliti penjajah . Ia juiga satu bukti pembaziran wang yang nyata semata-mata demi mempertahankan kuasa yang dirampas dari orang lain secara haram.
Suatu yang menarik di dalam kes di Perak ini adalah meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan namun speaker DUN Perak masih dikuasai oleh PR. Yang lebih manarik tiada siapa yang boleh memecat speaker hatta Y.M Tuanku Sultan. Ini kerana speaker tidak dilantik oleh Sultan. Ia dilantik oleh DUN. Maka DUN juga sahaja yang diberi kuasa untuk memecat beliau melainkan beliau meletakkan jawatan atau kehilangan kelayakan sebagai seorang ADUN.
Memandangkan speaker tidak hilang jawatan maka kuasanya juga tidak hilang. Kuasanya kekal seperti sebelum Kerajaan PR dirampas secara haram . Apabila Kerajaan PR dirampas secara haram kini speaker pula bertindak balas dengan mengharamkan Zambri dan enam yang lain masuk ke dalam DUN. Tiga ADUN yang melompat sudah awal-awal lagi diharamkan oleh Speaker masuk ke DUN kerana mereka bukan lagi ADUN disebabkan perletakkan jawatan mereka adalah sah di bawah Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak. Kalau pun mereka masih ADUN, tiga mahkluk yang melompat tersebut adalah ADUN SPR .
Jelas kini Umno dah mula terasa bodoh kerana bertindak secara gopoh gapah. Jika Umno boleh jatuhkan Nizar dan Kerajaan PR Perak dengan berselindung di balik Sultan maka tidak mustahil Kerajaan haram BN akan kembali tersungkur dengan kuasa seorang speaker sahaja.
No comments:
Post a Comment